web analytics

Temuramah di Bernama TV

Author:

Loading

Hari ni hari Sabtu. Perancangan asal nak keluar kayuh kat luar. Tapi selepas solat subuh, anak aku datang beritahu jam 9 pagi ada kelas tambahan di sekolah; kena hantar pukul 8:30, katanya lagi.

Terus aku mengubah rancangan kepada kayuh di smart trainer sahaja. Selesai set up dan pasang laptop serta hidupkan Zwift, terpaksa ke tandas pula. Setelah selesai urusan, jam dah pukul 8 pagi.

Sudahnya, apa pun tak jadi hari ni. Iyalah, lagi 30 minit nak kena hantar anak aku.

Begitulah ceritanya. Tapi tak mengapa. Petang nanti aku buatlah apa yang patut. Harap esok pagi aku dapat kayuh basikal kat luar.

Okey, kita terus kepada intipati yang sebenar dalam cerita kali ini. Sebenarnya pada hari Selasa petang baru-baru ini aku ditemuramah oleh Amar Yusoff daripada Bernama TV. Katanya mahu menemuramah aku secara langsung.

Asalnya aku menolak pelawaannya. Aku katakan aku bukan atlet. Aku ni kayuh basikal sambil rekod video je. Hobi dan sekadar suka-suka. Dengan mudah beliau mematahkan kata-kata aku sambil berkata, “Memang itulah saya nak tanya bro…tentang penglibatan bro sepanjang berbasikal sambil membina saluran Youtube Pahlawan Basikal.”

Jadi, apa yang boleh aku balas? Awal-awal sudah tewas. Begitulah aku, jujur memberi jawapan hingga memerangkap diri sendiri.

Pada hari Rabu keesokan harinya, jam 3:30 petang berlangsunglah secara live aku ditemuramah. Lintang pukang aku dibuatnya. Dengan pakai baju tidur malam tadi, dan rambut pun tidak disikat rapi.

Iyalah, aku kan bekerja sepenuh masa di rumah. Jadi aku akan pakai ikut suka akulah. Sedangkan aku terlupa bahawa rancangan live aku tu bakal disaksikan oleh Sultan Columbia, Michael Jackson, Madonna, malah mungkin juga Emma Watson.

Tapi tak apalah, benda pun sudah berlalu. Semua soalan aku jawab tanpa skrip. Aku jawab apa yang aku fikir selamat. Tak mahu aku kembangkan jawapan aku itu hingga boleh memerangkap aku sendiri. Contohnya ketika bertanyakan sesuatu yang bersifat negatif.

Oh ya, aku tak tahu tau soalan apa yang bakal disemburkan kepada aku. 80% soalannya langsung aku tak jangka.

Tak apalah, korang tontonlah temuramah aku ini:

Begitulah kesudahannya. Aku pun tak tonton video tu. Aku tak tahu bagaimana kelam kabutnya keadaan aku waktu itu. Apa-apa pun aku dapat selesaikan temuramah. Bergaya atau pun tidak, itu belakang kira . Ha-ha-ha!

Okeylah, aku nak hantar anak aku dan seterusnya ke dobi. Mesin basuh dah rosak seminggu lamanya. Petang ni baru sampai mesin basuh baru. Tapi aku tak boleh tunggu – kena basuh kat dobi juga selepas hantar anak aku sekejap lagi.

Lepas ni pulak aku nak cerita tentang bike fitting yang aku buat pada Khamis lalu. Sementara tu korang tontonlah video aku berlakon secara langsung di Bernama TV. Ha-Ha!

PS: Selalunya, benda yang kita tak nak itulah kita terpaksa hadap. Itulah kehidupan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.