web analytics

Kejadian Powerman 2022 di Putrajaya – Bantuan dari Langit

Author:

Semalam dengan tidak sengajanya aku ter-pergi ke Powerman 2022 di Putrajaya. Acara internasional ini sepatutnya berlangsung pada 2020. Disebabkan PKP yang pelbagai versi dan pendemik akibat Covid-19, maka acara tersebut ditangguh banyak kali.

Sehinggalah semalam acara ini berjaya dijalankan di Putrajaya – dan aku sifatkan acara ini berjaya dan meriah dalam sejarah Powerman Duathlon dalam Malaysia.

Aku tak bercadang langsung nak pergi tengok. Esmen Tripaku mesej aku hari Sabtu tanya samada aku datang ke tak ke acara tersebut. Aku cuma jawab, “Tak tahu lagi. Kalau rajin aku datang.”

Entah jin mana merasuk aku pagi Ahad semalam – tiba-tiba aku rajin macam ahli politik nak berkempen pada PRU-15. Lepas je aku berjaya menghantar anak aku ke kelas tambahan kat Presint 5, aku terus menyelinap celahan trafik lalu terus memarkir motor Yamaha Avantis milik bini aku betul-betul kat simpang 4 PICC (Sebenarnya simpang tu simpang 3 disebabkan satu lagi jalan tu jalan mati).

Presint 5, Putrajaya.

Simpang 4 tu laluan strategik. Aku tahu laluan tu banyak buat onar. Kalau nak bonk pun kat situlah tempatnya. Sebab bukitnya gradient sekitar 2 – 3 persen. Tak perasan keadaan bukit tu kalau pandang dengan hijab yang tertutup.

Sampai je kat situ, aku tengok kereta berderet kena tahan dengan 3 orang polis trafik yang menjaga laluan tersebut. Ada yang aku perhati muka pemandu dalam kereta kelat 360° – jelas penyesalan di wajahnya akibat melalui jalan tersebut. Nak cepat, langsung jadi lambat.

Itu baru muka pemandu kereta yang tersilap percaturan. Belum lagi muka-muka penyesalan yang tengah kayuh basikal yang melalui laluan kat situ.

Sempat jumpa Didie kat Presint 2.

Aku bukak helmet lalu menongkat motor tepi jalan. Aku perhati setiap peserta yang melintas di hadapan aku. Ada yang laju, ada yang perlahan. Ada yang aku lihat masih bersemangat dan tak kurang juga sudah kehabisan tenaga untuk teruskan perjalanan.

Dalam diam aku akui mulai rindu acara Powerman ini. Aku makin terasa bersemangat walau pun duduk tepi jalan je. Magik betul. Jadi penonton pun boleh bersemangat.

Kebetulan tengah jadi penonton, ada seseorang tengah naik basikal melalui hadapan aku. Dia bukannya peserta. Aku kenal dia. Cuma nama je tak ingat masa tu. Aku ajak dia lepak sekali aku.

Untuk pengetahuan korang, nama beliau adalah Zulhafiz.

Agaknya sebelum insiden tiub bocor, Zulhafiz sempat bergambar dahulu kat flyover dalam Putrajaya.

Soalan pertama dia tanya kat aku (dan soalan ini aku dah boleh agak), “Tak masuk ke Powerman?”

“Kalau aku masuk, takdelah aku pakai tshirt kaler biru duduk tepi jalan macam ni,” jawab aku pantas.

Tengah berdebat isu kenapa aku tak masuk Powerman, tiba-tiba aku nampak ada seorang peserta Powerman tengah berjalan. Dalam hati aku cakap, ini mesti tiub bocor. Ternyata tekaan aku tepat. Aku panggil dia dan menawarkan pertolongan. Malangnya satu kelengkapan pun dia tak bawak. Pam, lever, tiub semua takda.

“Dia ni datang dari planet mana…semua tak bawak.”

Aku cakap dalam hati je lah. Tak kan aku nak cakap depan-depan pulak. Sekali dia libas aku dengan tiub bocor dia, tak pasal-pasal boleh cedera.

Nasib baik Zulhafiz ada kelengkapan lengkap untuk menukar tiub. Disebabkan Zulhafiz lah segala proses menukar tiub berjalan dengan lancar.

Selang beberapa minit (tak sampai 5 minit kejadian menukar tiub tadi), aku terdengar bunyi kuat sekitar 100 meter dari aku dan Zulhafiz lepak. Aku nampak ada seorang peserta Powerman turun dari basikal dan membetulkan sesuatu pada basikalnya.

Aku pantang nampak orang tengah ada masalah kalau tengah kayuh basikal. Lebih-lebih lagi dalam acara berprestij macam ni. Bukan apa, aku faham perasaannya macam mana kecewanya kalau ada masalah teknikal pada basikal ketika acara berlangsung.

Aku bergegas ke arahnya lalu menawarkan bantuan. Aku lihat hanger patah dan rear derailleur tergantung pada rantai.

Sebelum balik, sempat ambil gambar dengan Nadya.

Aku minta beliau ke tepi untuk menenangkannya. Aku tanya dia apa yang aku boleh bantu. Aku katakannya kepadanya yang dia tak boleh teruskan kayuhan sebab hanger dah patah dan terpaksa DNF.

Dia minta aku telefon Grab. Dia tak bawa telefon dan memerlukan bantuan aku untuk tempah Grab.

Dalam hati aku cakap, kalau dia naik Grab, jalan banyak tutup dan Grab mana mungkin boleh nak ke Presint 2 di mana starting point acara berlangsung.

Untuk memudahkan urusannya, aku menawarkan bantuan untuk bawanya kembali ke Presint 2 dengan motosikal aku. Dia bersetuju.

Sepanjang perjalanan dia tak henti-henti ucapkan terima kasih kat aku. Pada aku, bantuan aku yang tak seberapa ini benar-benar bermakna untuknya.

Jujur aku kata, tak perlulah berterima kasih sangat kat aku. Aku faham macam mana perasaan seseorang yang gagal menamatkan sesuatu acara penting. Lebih-lebih lagi ini adalah pengalaman pertamanya dalam acara Powerman.

Sampai je kat Presint 2, dia terus menelefon isterinya untuk memaklumkan apa yang terjadi. Aku tanya, isterinya kat mana. Dia cakap isterinya tengah lari lagi…isterinya masuk acara sprint. Dia maklumkan kepada aku yang dia nak merasa berlari untuk acara seterusnya. Aku bersetuju. Walau pun DNF, itu takpe…yang penting ada semangat untuk habiskan larian.

Setelah selesai segalanya kat situ. Aku mula merayap di persekitaran situ. Aku jumpa ramai kawan aku. Aku ambil kesempatan untuk berjumpa dengan mereka sebelum pulang untuk mengambil anak aku balik dari kelas tambahan.

Begitulah ceritanya…

Jika dilihat kembali, setiap orang ada peranannya jika Allah berkehendakkan sesuatu itu. Disebabkan entah apa yang mereka berdua (tiub bocor dan hanger patah tadi tu) dah buat sebelum ni, urusan mereka berdua Allah permudahkan.

Allah hantar aku yang tak tahu apa ni dengan Zulhafiz untuk membantu mereka berdua. Kalau Zulhafiz tak ada kat situ, mana mungkin aku boleh bantu menukar tiub. Kalau aku tak hantar anak aku naik motor ke kelas tambahan, lalu lepak tepi jalan…mana mungkin aku boleh tawarkan bantuan bawak mangsa naik motor ke presint 2 sehinggakan beliau dapat merasa acara larian yang terakhir.

Itulah yang terjadi pada hari semalam. Jujurnya aku merasa puas sebab dapat memainkan peranan aku. Dapat tukar tiub dan bawak basikal dan tuannya naik motor pun jadilah.

Walaupun aku tak masuk Powerman tahun 2022 ini. Tapi dua kejadian itu aku buatkan hari Ahad semalam aku berasa puas. Sekurang-kurangnya aku dapat berbakti kepada mereka yang sedang berjuang.

Kepada peserta yang menyertai Powerman 2022, tahniah aku ucapkan.

Insya-Allah tahun depan kalau aku ada bajet, kita jumpa dan berjuang bersama-sama.

PS: Sekarang ni semangat aku memanglah berkobar-kobar nak masuk Powerman akan datang. Tapi biasanya seminggu je bersemangat. Lepas tu harammmmmm….

2 thoughts on “Kejadian Powerman 2022 di Putrajaya – Bantuan dari Langit”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *