web analytics

Jual Gitar Karen dan beli Shimano 105

Author:

Itu le perangai aku. Bila dah suka satu-satu benda, aku akan usaha dapatkannya. Selagi tak dapat, akal aku panjang untuk dapatkan jugak. Aku akan cuba sampai happy ending kesudahannya.

Aku masih ingat lagi pada tahun 2011. Waktu tu aku baru je beberapa bulan kayuh basikal. Kemudian aku mengenali beberapa rakan yang sama hobi; lalu memperkenalkan aku bingkai basikal BMC (frame ni aku beli kat dia) dan seterusnya meracuni pemikiran aku begini:

“Kalau kau nak basikal kau ringan, kau kena tukar groupset. Paling murah Shimano 105.” Zul memberi cadangan kepada aku selepas habis kayuh basikal sama-sama.

Tambahnya lagi, “Tak guna pakai frame alloy cap BMC, kalau kau pakai groupset berat macam yang kau pakai sekarang ni.”

Shimano 105 pasang kat frame BMC Streestfire SSX.

Aku termakan hasutannya dan…

Inilah aku nak cerita kat korang semua.

Aku tak cukup duit nak beli groupset shimano 105. Waktu tu satu-satunya yang aku boleh jual untuk dapatkan duit yang pantas adalah menjual gitar elektrik aku. Bukan itu sahaja, amp dan Boss JS-10 eBand pun aku jual.

Dipendekkan cerita… aku pendekkanlah sebab aku dah cerita dalam blog sebelum ni. Dalam vlog kat saluran Youtube pun aku dah cerita.

CORT G254
CORT G254 – Hanya tinggal kenangan.

Ya, aku jual semua tu. Aku dah kemaruk sangat nak pakai shimano 105 waktu tu. Aku lupakan bakat aku yang tak berapa sangat terer iaitu bermain gitar dan mahu menceburi bidang sukan. Manalah tahu dapat masuk olimpik ke.

Sudahnya, olimpik pun tak dapat, gitar dan amp semua entah ke mana. Inilah yang dikata, ‘yang dikendong berciciran, yang dikejar tak dapat’.

Semalam aku masuk bilik bujang anak aku. Tahun ni dia SPM. Aku nampak gitar Yamaha klasik aku dalam bilik dia. Dan aku tak tahu samada dia boleh bermain gitar atau tak. Tapi dia boleh bermain violin sebab aku pernah hantar dia belajar violin kat Yamaha sejak darjah 1 hingga tingkatan 4.

Lagi pun aku pun tak pernah ajar dia main gitar. Dan dia pun tak pernah tengok aku main gitar.

Yamaha model C-40.

Aku ambik gitar tu dan aku plucking lagu Sketsa Sebuah Cinta. Sudahnya jari aku sakit. Fuh, punyalah lama aku tak sentuh gitar.

Aku memang suka lagu tu. Buktinya, tanpa fikir panjang – pegang gitar dan terus main lagu tu.

Itulah aku. Adakalanya aku boleh berfikiran singkat. Adakalanya boleh menjadi orang yang paling cermat dalam membuat keputusan.

Yamaha C-40
Dah berhabuk sebab lama tak pegang.

Macam manalah aku boleh terfikir untuk jual gitar dan amp tu dulu. Dan sekarang ni keinginan aku nak ada sebijik gitar karen timbul semula gara-gara terpegang gitar klasik aku tu.

Oh ya, aku beli gitar Yamaha klasik tu hasil gaji pertama aku kerja kilang pada tahun 1995. Usianya dah mencecah 27 tahun. Dan keadaannya masih solid. Harga waktu tu RM280. Gaji yang diterima waktu kerja kilang pula RM375 dan ianya gaji pertama aku. Sudahnya, gaji aku balance tinggal RM95. Ha-ha!

Macam aku cakap tadi, perangai aku kalau aku nak, aku nak jugak. Balance gaji tinggal RM95 pun takpe, asal aku dapat gitar pertama aku.

Sebagai tanda terima kasih aku kat korang sebab habis membaca cerita aku kali ni, aku hadiahkan sebuah lagu Elvis Presley yang bertajuk Sketsa Sebuah Cinta. Siap ada vokal aku menanyi tau:

PS: Dalam blog ini korang aku berkenalan dengan aku dari perspektif yang berbeza berbanding di saluran Youtube aku. Dalam Youtube tu banyak berlakon je ha-ha!

2 thoughts on “Jual Gitar Karen dan beli Shimano 105”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *