Semalam aku dah muat naik vlog masa kayuh hari Ahad lepas. Walau pun durasinya hanya 8 minit, tapi aku ambil masa 3 hari juga untuk siapkan.
Hari Ahad petang (hingga malam), dan Isnin pagi aku convert rakaman dari kamera Insta360 One X2 melalui komputer riba aku. Hari Selasa pula aku luangkan masa cuma 3 jam sahaja untuk proses suntingan. Manakala hari Rabu semalam, dari jam 9 pagi hingga 11 pagi aku berjaya siapkan video tersebut.
Petang tu baru aku siapkan thumbnail dan terus muat naik ke saluran Youtube aku.
Sebenarnya aku tak sengaja terupload. Rancangan asalnya aku nak terbit vlog tersebut pada hari Jumaat. Tapi tersalah setting pulak. Hehehe…
Kalau belum tonton, ini videonya:
Hari ni aku takde rancangan apa-apa. Asalnya mahu kayuh kat smart trainer Magene T300 pagi ni. Tapi, aku batalkan dan mungkin petang nanti sahaja aku tunaikan hasrat hati aku ini.
Bukan apa, aku perasan juga…kalau aku kayuh waktu pagi, aku boleh terlajak kayuh sehingga 2 jam lamanya. Lepas tu, bila badan dah letih, aku mula malas nak buat kerja lain. Hari tersebut boleh jadi tidak produktif.
Kalau aku kayuh pada sebelah petangnya, lain pula cerita – cuma dapat kayuh sejam sahaja dan dari pagi ke petang waktu aku lebih produktif. Tapi tempoh kayuh tu pendek sangat.
Macam tu lah ceritanya.
Dalam hidup ni, kerap kali kita kena buat pilihan. Adakalanya pilihan tu kita tak dapat sepenuhnya apa yang kita harapkan. Seringkali kita mahukan jadi milik kita segala pilihan yang kita ada. Maksudnya, kita tak perlu memilih. Apa yang kita nak, kita dapat.
Bukan tak boleh. Boleh je kalau kita ada dua pilihan, dan kita pilih untuk ada kedua-duanya. Tapi pengorbanan kita tu kenalah besar.
Kalau aku nak kayuh pada sebelah pagi dan tempoh kayuhan aku lebih lama, aku kena sanggup untuk lebih produktif sepanjang hari. Tak boleh malas-malas.
Kalau aku nak lebih produktif pada sebelah pagi hingga petang, aku tak boleh malas nak kayuh kat trainer cuma kayuh sejam sahaja. Aku kena lawan rasa malas aku tu. Barulah kedua-dua pilihan tersebut jadi milik aku.
Barulah dinamakan kepuasan. Apa taknya? Dua-dua yang kita nak tu berjaya kita dapatkan.
Okey begini, aku berikan satu lagi contoh…
Katakan korang ada dua pilihan samada nak beli basikal Dogma F Dura Ace Di2 atau SystemSix Hi-MOD Dura Ace Di2. Kalau korang ada terlebih duit, korang tak perlu memilih sebenarnya. Boleh je beli dua-dua tu. Sanggup atau tidak untuk keluarkan duit je. Kita tak perlu buat pilihan pun.


Yang buatkan kita memilih ni disebabkan ‘ketidakmampuan’ itu sendiri. Kita terpaksa memilih.
Satu lagi contoh. Kalau kita mahu berbini dua (atau tiga). Ini bukan pilihan pun sebenarnya. Kalau kita mampu…
Eh, salah beri contoh. Minta maaf.

PS: Bulan Januari 2023 nanti aku nak bikepacking lama sikit. Insya-Allah. Kalau duit cukup, aku nak ke Thailand. Kalau tidak, dalam Malaysia ajelah. Dua-dua jatuh tarikh yang sama dengan kumpulan basikal yang berbeza. Adakalanya kita terpaksa memilih juga kesudahannya…